Cabaran pekerja tukang cuci hospital

Bergelumang dengan sampah-sarap, membersihkan sisa buangan yang meloyakan selain menjalankan tugas menyapu, mengemop atau vacum di segenap ruang, itulah tugas hakiki seorang tukang cuci.



Bagaimanapun, bagi insan yang memilih kerjaya sebagai tukang cuci, pandangan serong masyarakat tidak langsung meninggalkan kudis buat mereka.

Malahan, berbangga kerana berbekalkan kudrat tulang empat kerat, mereka mampu menyara kehidupan sekeluarga dengan rezeki halal.

Paling utama, dengan kehadiran tukang cuci jugalah masyarakat dapat menikmati kehidupan dalam persekitaran yang bersih, bebas daripada kekotoran.

“Bagi saya, apa saja kerja tiada salahnya. Seperti kami tukang cuci, kalau pun ada yang pandang rendah, kami tidak peduli kerana percaya, tukang cuci ini kerja mulia.

“Lagipun dengan pelajaran yang tidak seberapa, ini saja kerja saya boleh buat. Dulu ada juga isi permohonan kerja kerajaan tapi ditolak,” kata Tengku Sabariah Tengku Moris, 44, yang sudah 17 tahun bergelar tukang cuci.
Cari wang halal

Tengku Sabariah berkata, waktu kerjanya bermula jam tujuh petang sehingga tujuh pagi dan ‘pejabatnya’ adalah Hospital Sungai Buloh.

“Sepanjang bekerja, saya rasa tugas ini biasa saja cuma bezanya saya bekerja di hospital, yang cukup mengutamakan aspek kebersihan.

“Bagaimanapun, ia tidak memberi tekanan pun, malah saya rasa beruntung sebab dapat mempelajari banyak perkara membabitkan cara kerja mengikut prosedur yang betul,” katanya.

Bagaimanapun, Tengku Sabariah berkata, membersihkan ruang hospital lebih rumit berbanding kawasan biasa.

“Di sini, risiko berdepan jangkitan kuman memang tinggi malahan apa yang dibersihkan juga kadangkala tidak terjangkau dek akal,” katanya sambil menyenaraikan satu persatu sisa perlu dibersihkan tukang cuci hospital.

Darah, najis, nanah dan apa saja sisa daripada badan pesakit dan lebih berat, tukang cuci hospital juga orang yang bertanggungjawab membersihkan sisa kotoran daripada bilik mayat.

Bersihkan ulat mayat

“Apa saja, ulat mayat pun kami bersihkan tidak kiralah siang atau malam, jika ada keperluan, kami akan jalankan tugas sebaik mungkin.

“Bagaimanapun, kerja pembersihan di hospital memerlukan kami mengikuti standard termasuk wajib mengenakan peralatan perlindungan diri (PPE) bertujuan mengurangkan kadar risiko kemalangan kepada pekerja dan orang sekeliling,” katanya.

Kini, kesabaran ibu tunggal kepada lima cahaya mata, Nurul Azwani Muhamed Loan, 25, Mohammad Hazwan Hafiz, 23, Nurul Amalina, 21, Nurul Amylia Nazirah, 16, dan Nurul Anis Julita, 11, sudah menampakkan hasil.

Jika 17 tahun kerjanya hanya membersih dan menyapu tapi kini Tengku Sabariah sudah dinaikkan pangkat sebagai pemimpin kumpulan, mengetuai 26 tukang cuci Hospital Sungai Buloh bagi syif malam.

“Jika dulu gaji hanya RM420 sebulan tapi kini gaji sudah mencapai empat angka. Syukur, berkat kesabaran pasti ada ganjarannya,” katanya.

Rezeki tukang cuci

Sementara itu, Zainani Mohamed, 38, mula berkhidmat bersama Harta Maintenance Sdn Bhd (Harta Maintenance) sebagai tukang cuci kira-kira 13 tahun lalu.

“Saya ingat lagi, dulu hendak dapatkan izin suami untuk bekerja cukup susah. Bila suami izinkan, saya gunakan peluang itu sebaiknya dan alhamdulillah berkat restu suami, saya dapati kehidupan dan kerjaya saya lebih baik.

“Daripada tidak ada lesen memandu, kini sudah ada. Daripada hanya ‘cleaner’ biasa sekarang sudah jadi penyelia. Malah, kami juga sudah ada rumah sendiri dan anak juga ada yang berjaya ke menara gading,” katanya yang mampu meraih pendapatan bulan sebanyak RM1,800.

Kata Zainani, untuk kemudahan pekerja, majikan turut menyediakan tempat tinggal dan pengangkutan ke tempat kerja.

“Suami, Mohd Nor Osman dan dua anak tinggal di Kemaman dan dua anak lagi menuntut di Universiti Malaysia Sarawak. Jadi saya tinggal di asrama pekerja terletak bersebelahan tempat kerja,” katanya.

Menceritakan skop tugasnya kini, Zainani berkata, ia lebih rumit berbanding dulu kerana sebagai penyelia, beliau bertanggungjawab memantau 154 tukang cuci yang bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Kesemua 154 tukang cuci itu ditugaskan menjalankan operasi pembersihan di 110 lokasi termasuk wad, klinik, pejabat dan ruang awam Hospital Sungai Buloh.

“Selain itu, saya juga individu bertanggungjawab menulis laporan atau kertas kerja membabitkan skop tugas tukang cuci untuk hospital,” katanya.

Tidak jijik

Bagaimanapun, sama seperti rakannya, Tengku Sabariah, Zainani tidak berasa beban atau jijik dengan tugas sebagai tukang cuci.

“Itu kerja kami. Membersihkan kotoran tapi walaupun jijik itu kerja kami, rezeki yang halal,” katanya yang pernah menerima anugerah Penyelia Pembersihan Terbaik 2013 daripada Harta Maintenance dan menerima ganjaran wang tunai RM500 berserta sijil serta plak.

Bagaimanapun, jika ada yang skeptikal dengan kerjaya tukang cuci, mungkin perlu difikirkan kembali kerana kerjaya mulia ini juga membuka peluang kerjaya lebih baik di masa depan.

Seperti kata Zainani, beliau bersyukur, walaupun hanya bermula sebagai tukang cuci, beliau berpeluang mengembangkan kerjaya sehingga bergelar ‘ketua tukang cuci’.

“Kalau sudah tahu taraf pendidikan rendah, janganlah memilih kerja. Ambil peluang yang ada, jika bersungguh-sungguh, pasti berjaya,” katanya.

Individu penting dalam kehidupan

“Industri pembersihan nampak seperti tidak luas tapi tanpa sedar, tukang cuci adalah individu yang sangat penting dalam kehidupan semua orang.

“Tanpa tukang cuci, kita tidak akan dapat bayangkan bagaimana keadaan dunia ini. Dan kami Harta Maintenance sudah berada dalam industri ini selama 34 tahun, menyediakan pekerja bagi tugas pembersihan untuk tujuan domestik, bangunan komersil, industri, kompleks beli-belah, institusi pengajian, lebuh raya dan hospital, sebagai bukti keperluan tukang cuci tidak pernah berakhir,” kata Penolong Pengurus Operasi Harta Maintenance, Azhar Abu Bakar.

Tambah Azhar, mungkin sudah tiba masanya kerjaya tukang cuci dinaiktaraf dan sekali gus menjadi jaminan untuk menarik lebih ramai orang menyertai kerjaya terbabit.

“Sekarang ini permintaan terhadap tukang cuci memang banyak tapi sayangnya kita kekurangan tenaga kerja.

“Jadi, antara usaha kami menarik penyertaan orang tempatan adalah dengan menawarkan gaji minimum RM900 selain memberikan manfaat lain termasuk bantuan sara sekolah (anak), bantuan perayaan, bayaran kemasukan ke hospital dan Petunjuk Prestasi Utama untuk menilai bayaran bonus serta peluang naik pangkat.

“Orang kita ramai yang pandang kerja ini kotor tapi kerja pembersihan ini sebenarnya satu ibadah dan dapat membantu memupuk nilai murni dalam diri,” katanya.

Azhar berkata, sesuai dengan sifat semula jadi wanita yang mahir dalam melakukan kerja rumah, syarikat pembersihan sememangnya mengutamakan pekerja wanita untuk dijadikan tukang cuci.

“Wanita tidak perlu diajar banyak perkara mengenai kerja mencuci lagi mereka lebih berhemah mengendalikan mesin dan peralatan berbanding pekerja lelaki.

“Bagaimanapun, ia bukan bermakna pekerja lelaki tidak dialu-alukan kerana kemahiran ini boleh diajar malahan kami sendiri menyediakan kursus asas terlebih dulu sebelum menghantar pekerja ke mana-mana premis pelanggan,” katanya. -bharian

0 Response to "Cabaran pekerja tukang cuci hospital"

Post a Comment