20,434 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib sejak 2009

KUALA LUMPUR: Sebanyak 20,434 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib dalam tempoh lima tahun sejak 2009, persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada hari Isnin.



Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata daripada jumlah itu 4,743 dibuang kerja, 125 diturunkan pangkat dan tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat untuk tempoh 48 bulan, 963 lagi diturunkan gaji serta tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat selama 36 bulan.

Sebanyak 2,048 orang pula ditangguhkan pergerakan gaji dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 30 bulan manakala 3,491 lagi dilucutkan hak emolumen serta tidak akan dipertimbang kenaikan pangkat bagi tempoh 24 bulan.

"Sebanyak 3,373 orang dikenakan denda maksimum tujuh hari emolumen dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 18 bulan serta 10,531 diberi amaran dan tidak akan dipertimbangkan kenaikan pangkat bagi tempoh 12 bulan," katanya menjawab soalan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).

Shahidan berkata jumlah itu turut mengambil kira mereka yang dikenakan lebih daripada satu hukuman.

Menjawab soalan tambahan Datuk Wan Khairil Anuar Wan Ahmad (BN-Kuala Kangsar), beliau berkata setakat ini, tiada kes tindakan tatatertib dikenakan kepada mana-mana penjawat awam yang tidak menunjukkan taat setia kepada kerajaan semasa.

Wan Khairil ingin tahu sama ada kerajaan akan melihat semula cadangan dan terma pelantikan baharu seperti yang diamalkan oleh sektor swasta iaitu "hire and fire" dan "reward and punishment" untuk menaikkan kualiti penjawat awam.

"Amaran, denda, turun gaji, turun pangkat dan buang kerja buat masa ini mencukupi sebagai tindakan tatatertib.

"Di samping, penubuhan unit integriti di agensi awam akan terus memantapkan tahap integriti bagi menentukan penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaina awam yang lebih cemerlang," kata Shahidan. -Astro Awani

0 Response to "20,434 penjawat awam dikenakan tindakan tatatertib sejak 2009"

Post a Comment