Buka 2,014 peluang kerjaya

Kuala Lumpur: Malaysia Green Technology Corporation (Green Tech Malaysia) menyasarkan pemberian skim kewangan teknologi hijau (GTFS) berjumlah RM480 juta kepada pemain industri berkenaan dengan nilai keseluruhan projek mencecah RM1.3 bilion menjelang akhir tahun ini.



Di bawah skim itu yang diperkenalkan pada 2010, kerajaan menanggung dua peratus daripada keseluruhan kadar faedah bagi pembiayaan dan menyediakan jaminan 60 peratus bagi jumlah pembiayaan manakala institusi perbankan menyumbang baki 40 peratus bagi projek teknologi hijau.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ir Ahmad Hadri Haris berkata, pihaknya meluluskan GTFS bernilai RM346.3 juta bagi 21 projek dari Januari hingga Jun lalu dan dijangka terus meningkat menjelang akhir tahun ini.

Beliau berkata, sejak GTFS diperkenalkan sehingga kini terdapat 141 projek menerima GTFS dengan nilai 1.9 bilion dan mampu membuka 2,014 peluang pekerjaan.

“Menerusi pengenalan GTFS telah meningkatkan penyertaan pelaburan dalam bidang teknologi yang mana bilangan projek yang terbabit meningkat dari 2010 dengan 13 projek dan setakat tahun lalu, 43 projek telah diluluskan oleh kami untuk menerima skim berkenaan.

“Ia juga adalah selaras dengan Rancangan Hijau Malaysia yang menjadikan sektor pelaburan salah satu bidang untuk mengembangkan teknologi hijau di negara ini bagi tempoh jangka panjang,” katanya pada taklimat perkembangan teknologi hijau di sini, semalam.

Menerusi jumlah GTFS yang diluluskan dalam tempoh lima tahun itu, projek di dalam sektor tenaga mendominasi 70 peratus, diikuti pengurusan air dan bahan buangan, pembangunan dan kenderaan.

Green Tech Malaysia juga memberi kerjasama dengan pelbagai pemain industri pengangkutan bagi meningkatkan penggeluaran kenderaan cekap tenaga (EEV).

“Dengan kerjasama antara pihak kami, agensi kerajaan lain serta pemain industri, pada masa depan, negara mampu mencapai 10 peratus penguasaan pasaran penggunaan kenderaan EEV menjelang 2020,” katanya. -Harian Metro

0 Response to "Buka 2,014 peluang kerjaya"

Post a Comment