Buka kerjaya pemandu bas kepada warga asing

KUALA LUMPUR 9 Julai - Konsortium Transnasional Bhd. (KTB), berharap kerajaan membuka peluang kepada pengusaha bas-bas ekspres untuk mengambil tenaga asing bagi memenuhi pekerjaan sebagai pemandu bas, memandangkan pekerjaan itu kurang mendapat sambutan rakyat tempatan.


Pengarah Eksekutifnya, Tengku Mohd. Hasmadi Tengku Hashim berkata, permohonan sebelum ini telah dihantar kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD), namun tiada keputusan yang dibuat oleh suruhanjaya berhubung masalah tersebut.

Kata Tengku Mohd. Hasmadi, industri kini sukar mendapatkan pekerja daripada kalangan rakyat tempatan, khususnya golongan muda berumur sekitar 20-an. Jelasnya lagi, tawaran gaji yang tinggi terhadap pekerjaan tersebut juga dilihat gagal menarik golongan muda untuk menjadi pemandu bas.

Berdasarkan kajian, jelas beliau, gaji purata yang ditawarkan syarikatnya kepada pekerja baharu dengan sedikit pengalaman setahun dua ialah sekitar RM2,850 sebulan untuk bas ekspres dan RM1,730 untuk bas henti-henti. Malah, tambahnya, jika berkhidmat lebih lima tahun, bayaran gaji mampu mencecah RM5,000 sebulan untuk kategori pemandu bas ekspres.

"Pemandu bas merupakan pekerjaan yang menerima gaji paling mahal untuk kategori kelulusan pendidikan yang rendah. Namun demikian, disebabkan persepsi buruk umum terhadap pekerjaan ini tekah membuatkan ia tidak menarik minat rakyat tempatan," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Syarikatnya kini menggaji lebih 2,000 pemandu bas sama ada bas ekspres atau bas henti-henti. Pembayaran gaji tersebut dibuat berdasarkan bilangan laluan yang dibuat oleh pemandu. Malah, pemandu boleh menerima elaun-elaun lebihan jika bekerja lebih masa dan tidak melanggar undang-undang.

"Pengambilan warga asing merupakan salah satu alternatif yang boleh diusahakan, sekurang-kurangnya dengan memperuntukkan sedikit kuota. Bagi negara-negara maju, pekerjaan pemandu bas diisi oleh warga asing kerana masalah yang sama selain mereka sendiri (rakyat tempatan) tidak berminat dengan pekerjaan itu," ujarnya.

Kata Tengku Mohd. Hasmadi, permohonan telah dibuat kepada SPAD tetapi pihaknya tidak begitu mendesak memandangkan tanggungjawab terhadap masalah itu terletak di bawah penyeliaan SPAD. - utusan

0 Response to "Buka kerjaya pemandu bas kepada warga asing"

Post a Comment