Gaji golongan profesional ICT naik 7.2%

Petaling Jaya: Pasaran pekerjaan dalam industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) tempatan dijangka terus mencatatkan pertumbuhan positif tahun ini berdasarkan peningkatan gaji purata golongan profesional ICT tahun lalu yang mengalami pertambahan sebanyak 7.2 peratus kepada RM7,152 daripada RM6,673 pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Persatuan Industri Komputer Malaysia (PIKOM) Cheah Kok Hong berkata, pihaknya menjangkakan pertumbuhan gaji bagi industri berkenaan dijangka meningkat lagi menjelang hujung tahun ini kepada 8.7 peratus dipacu oleh pertumbuhan positif ekonomi tempatan dan peningkatan ekonomi global.

“Walau bagaimanapun, isu ‘kekurangan pakar’ menunjukkan jurang perluasan di antara Malaysia dan negara di rantau ini termasuk dalam kalangan negara yang menggunakan Bahasa Inggeris seperti Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya pada sidang media mengenai Unjuran Pasaran Kerja ICT PIKOM 2014 di sini.

Laporan terbabit dihasilkan oleh PIKOM dengan kerjasama JobStreet.com dan disokong Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) bertujuan untuk menggariskan pertumbuhan pasaran kerja ICT tempatan, pendapatan purata gaji profesional teknologi maklumat (IT), sektor berpotensi dan cabaran yang harus dihadapi. Beliau berkata, terdapat 119,000 pelajar yang mendaftar dalam kursus ICT pada 2002 dengan 53,000 daripada mereka sudah menamatkan pengajian, namun ia menunjukkan penurunan drastik sebanyak 80,000 pelajar dan 19,500 pada 2012.

“Perkara itu perlu diberi perhatian kerana jika berterusan ia mampu memberi kesan kepada agenda negara untuk meningkatkan pekerja mahir kepada 33 peratus menjelang 2015 dan 50 peratus pada 2020 dengan objektif menjadikan Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi,” katanya. - Harian Metro

0 Response to "Gaji golongan profesional ICT naik 7.2%"

Post a Comment