Pandu bot, van sara anak

LAZIMNYA tanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga terpikul di bahu suami, namun hari ini sudah ramai wanita turut keluar bekerja demi menyara keluarga.



Tambahan bagi mereka berstatus ibu tunggal dan perlu bekerja sendiri dalam pelbagai lapangan untuk membesarkan anak-anak selepas pemergian suami.

Namun tidak ramai wanita menceburi kerjaya sebagai nelayan kerana ia terlalu berisiko serta memerlukan kudrat yang bukan sedikit terutama untuk mengemudi bot dan menarik pukat.

Berbeza bagi ibu tunggal, Zakiah Sidi Ahmad, 46 yang cekal melalui kehidupan sebagai nelayan dan peniaga ikan sejak 14 tahun lalu, terutama setelah dia perlu membesarkan tiga anaknya bersendirian sejak beberapa tahun lalu.

Zakiah berkata, kerjaya sebagai nelayan memerlukan dia mengemudi sendiri bot di laut, manakala di jalan darat, dia perlu memandu sendiri van untuk berniaga ikan di beberapa lokasi tumpuan ramai.

"Sekarang ini saya jadikan dunia perikanan sebagai sumber rezeki sepenuh masa. Dulu saya tanam tembakau, tetapi selepas penanamannya dihentikan, saya mula turun ke laut untuk cari rezeki sampai sekarang.

"Biasanya saya turun ke laut pada waktu pagi dan pulang pada waktu petang. Semua dilakukan sendiri dan bot saya ditempatkan di Jeti Tok Bali kerana muara Sungai Gali semakin sempit dan menyukarkan laluan keluar masuk pada waktu pagi," katanya kepada Sinar Harian.

Perlu ilmu kemudi bot

Menurut Zakiah, mengemudi bot sendiri bukan satu perkara mudah dan perlu ada ilmu dan kemahiran untuk turun ke laut, selain lesen bot untuk membolehkan dia mendapat subsidi petrol serta lain-lain kemudahan.

"Ilmu dan kemahiran penting bila berada di laut. Nelayan perlu tahu laluan diikuti untuk memastikan pukat yang diletakkan diingati sebelum mengangkatnya pada keesokan hari.

"Kalau tak ada sekurang-kurangnya tiga penanda seperti bukit, pulau atau kapal, susah untuk kita kenal pasti lokasi kita letak pukat. Kalau cuaca berjerebu pun susah juga sebab tak nampak bukit dan daratan sebagai penanda," katanya.

Hasil bergantung kepada keadaan

Zakiah berkata, menjelang Mei dan Jun, hasil tangkapan laut semakin berkurangan menyebabkan dia perlu mendapatkan bekalan tambahan daripada nelayan lain apabila hasil diperoleh tidak mencukupi untuk jualan.

Menurutnya, langkah tersebut perlu dilakukan untuk memastikan dia boleh memasarkan hasil laut di beberapa lokasi termasuk di Pasar Tani, Jelawat dan di Kampung Badak.

"Hasil laut yang memberi pulangan lumayan ialah ketam yang memerlukan pukat dilabuhkan sehari semalam atau lebih. Nilainya boleh mencecah puluhan ringgit sekilogram tapi perlu tengok keadaan.

"Kalau dapat setakat lima Kilogram (kg) memang tak berbaloi sebab perlu tampung kos diesel. Sekurang-kurangnya 15 kg ketam diperlukan untuk dapat pulangan modal kerana harga diesel untuk 35 liter sudah mencecah RM51. Itu pun harga subsidi," jelasnya.

Tambahnya, bukan setiap hari dia turun ke laut untuk menangkap ikan dan bukan setiap hari dia berniaga, kerana semuanya bergantung kepada keadaan laut serta hasil tangkapan diperoleh. -sinarharian

0 Response to "Pandu bot, van sara anak"

Post a Comment